PETRA

INISIATIF BAHARU SOLAR ACCELERATED TRANSITION ACTION PROGRAMME BAKAL DILAKSANAKAN UNTUK TERUS SOKONG USAHA PENJANAAN SOLAR DI BUMBUNG BANGUNAN

Bagi meneruskan usaha untuk memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) daripada sumber solar, Kerajaan akan memperkenalkan inisiatif solar bumbung baharu yang dikenali sebagai Solar Accelerated Transition Action Programme atau Solar ATAP.

Program Solar ATAP ini merupakan kesinambungan kepada Program Net Energy Metering (NEM) yang telah tamat pelaksanaannya pada penghujung bulan Jun 2025.

(i) pengekalan prinsip asas NEM iaitu membolehkan lebihan tenaga dijual kepada sistem grid sebagai offset tenaga dengan penyesuaian agar ia lebih menarik berbanding Program Solar for Self-consumption (SelCo) sedia ada;

(ii)penetapan kadar offset tenaga adalah pada harga pasaran elektrik iaitu pada kadar system marginal price (SMP). Pendekatan ini adalah sebagai mana Program NEM NOVA sebelum ini. Ia bertujuan untuk memastikan pelaksanaannya bersifat jangka masa panjang; dan

(iii) had pemasangan sistem solar ditetapkan pada kadar 100% permintaan maksimum agar pengguna boleh mengoptimumkan pemasangan sistem solar untuk kegunaan sendiri.

Penyediaan garis panduan serta sistem pendaftaran program baharu ini akan dilakukan dan dijangka akan berkuat kuasa mulai 1 Disember 2025. Garis panduan program serta kaedah permohonan boleh didapati daripada laman sesawang Suruhanjaya Tenaga dan SEDA Malaysia mulai tarikh tersebut.

Pelaksanaan Program Solar ATAP ini dijangka akan merancakkan lagi pembangunan penjanaan teragih (distributed generation) dalam sistem bekalan elektrik negara, selain memberi pilihan kepada pengguna untuk memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk penjanaan TBB.

PETRA sebagai agensi peneraju agenda peralihan tenaga negara yakin bahawa pelaksanaan program baharu ini akan menyokong aspirasi negara untuk mencapai 70% kapasiti TBB dalam perbekalan elektrik negara menjelang tahun 2050, sekali gus memenuhi tanggungjawab kepada generasi masa kini dan akan datang, sejajar dengan prinsip utama Malaysia MADANI.

Download